Refleksi Seminar Penulisan Ilmiah: Hari Pertama

Pada hari Sabtu lalu, iaitu bersamaan 15 September 2018, suatu seminar penulisan ilmiah telah diadakan di Makmal Bahasa 1, C24, Universiti Sains Malaysia (USM). Peserta seminar terdiri daripada pelajar-pelajar tahun akhir yang bermajorkan bahasa Melayu. Sebagai salah seorang peserta seminar tersebut, saya akui bahawa saya telah mempelajari banyak perkara baharu, misalnya tentang cara menghasilkan penulisan bertaraf ilmiah dan cara memperoleh bahan rujukan yang berkualiti daripada internet. Seminar ini sebenarnya berlangsung selama dua hari berturut-turut. Dalam entri kali ini, saya akan memfokuskan kepada perkara yang berlaku pada hari pertama seminar sahaja.

Pada hari pertama, seminar tersebut memfokuskan kepada cara menggunakan Mendeley untuk mencari bahan-bahan rujukan seperti artikel, jurnal, dan sebagainya daripada internet. Mendeley ialah program komputer yang menyediakan senarai rujukan daripada pelbagai sumber seperti buku, bab dalam buku, artikel jurnal dan petikan daripada internet. Pada pendapat saya, Mendeley adalah sangat bagus digunakan dalam kerja-kerja penghasilan penulisan ilmiah. Ini kerana Mendeley menyediakan bahan rujukan yang paling berkualiti untuk penggunanya. Selain itu, setiap bahan yang disimpan di dalam Mendeley juga tidak akan hilang selagi ia tidak digodam. 

Selain itu, pelajar juga diajarkan teknik untuk membuat ‘Style Heading’ di Microsoft Word. ‘Style Heading’ ialah cara menetapkan gaya tulisan untuk tajuk, subtajuk, tajuk jadual dan sebagainya. Penggunaan ‘Style Heading’ adalah sangat bermanfaat khususnya dalam kerja penulisan ilmiah, seperti jurnal, artikel, makalah, buku dan sebagainya. Dengan menggunakan ‘Style Heading’, format penulisan kita akan menjadi lebih kemas dan konsisten. Perkara ini adalah agak mencabar bagi saya kerana ia merupakan kali pertama saya didedahkan dengan cara menggunakan 'Style Heading'. Walaubagaimanapun, dengan bantuan Dr Sofiah, Dr Odi, dan rakan-rakan, proses untuk membina 'Style Heading' menjadi lebih mudah.

Refleksi untuk hari kedua seminar boleh didapati di sini.

Hari Pertama Seminar Penulisan Ilmiah

Comments

Popular posts from this blog

Infografik Cerpen "Citra Mukhlisah" Oleh Nisah Haron

Refleksi Kuliah Minggu Ke-12

Refleksi Kuliah dan Tutorial Minggu Kelima