Refleksi Aktiviti Pengajaran-Pembelajaran Kuliah Pertama

Pada hari ini, kuliah pertama bagi kursus HMT 411 (Teori dan Kaedah Penyelidikan Linguistik) telah diadakan di Makmal Bahasa 1, C24, Universiti Sains Malaysia (USM). Tenaga pengajar bagi kursus ini ialah Dr Radiah Yusoff dan Dr Norsofiah Abu Bakar. Kuliah yang berlangsung selama tiga jam tersebut telah dimulakan dengan bacaan doa Al-Fatihah. Kemudian, ia disusuli oleh beberapa aktiviti lain yang disediakan oleh Dr Radiah dan Dr Norsofiah.

Antara aktiviti yang dijalankan semasa kuliah tersebut ialah kuiz atas talian. Soalan kuiz telah dibina berdasarkan Pengenalan Ringkas Ahli Keluarga HMT 411. Pelajar telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil yang mengandungi empat hingga lima orang ahli. Salah satu kepentingan aktiviti ini adalah untuk mengajar pelajar nilai kerjasama dalam kumpulan. Selain itu, ia juga memberi kesedaran kepada pelajar supaya peka dengan keadaan dan orang di sekeliling mereka. Sebagai seorang manusia, kita tidak boleh hidup bersendirian, dan kadang kala memerlukan pertolongan daripada orang lain. Oleh sebab itulah, kita harus peka dengan orang di sekeliling kita, dan berusaha untuk mengenali mereka. Dengan menggunakan kumpulan yang sama juga, pelajar dikehendaki untuk menemu bual salah seorang ahli kumpulan mereka yang berperanan sebagai ‘subjek kajian’. Temu bual tersebut perlu dirakam oleh seorang ahli kumpulan, manakala ahli-ahli kumpulan yang selebihnya ditugaskan untuk mencatat isi kandungan temu bual tersebut. Objektif aktiviti ini adalah untuk mendedahkan pelajar tentang cara-cara yang betul untuk menemu bual subjek ketika menjalankan penyelidikan.

Di samping itu, kuliah tersebut juga sarat dengan pelbagai ilmu dan maklumat yang cukup bermanfaat kepada pelajar. Contohnya, Dr Radiah telah menegaskan beberapa perkara penting yang perlu dipatuhi oleh pelajar semasa melakukan penyelidikan. Antaranya ialah pelajar perlu mematuhi adab sopan. Dalam hal ini, pelajar dikehendaki untuk meminta keizinan daripada subjek yang ingin ditemu bual, sama ada dengan cara bertanya secara lisan, atau mendapatkan tandatangan penjaga, khususnya bagi subjek yang berumur 18 tahun ke bawah.

Selain itu, setiap pelajar juga telah ditugaskan untuk membina sebuah laman blog. Blog ini akan berfungsi sebagai portfolio pelajar apabila mereka ingin memohon pekerjaan selepas tamat pengajian kelak. Melalui blog ini, pelajar bukan sahaja dapat menonjolkan gaya penulisan mereka, tetapi pelajar juga dapat menjadikannya sebagai platform untuk melontarkan pendapat serta idea-idea mereka yang bernas.

Pada 30 minit yang terakhir, Dr Norsofiah telah memberikan sebuah tugasan berkumpulan kepada pelajar. Tema tugasan berkenaan ialah “Sumbangan Pekerja kepada USM”. Bagi tugasan tersebut, pelajar dikehendaki untuk menemu bual dua orang subjek. Subjek pertama mestilah bertaraf pensyarah, pendaftar, atau kerani, manakala subjek kedua mestilah terdiri daripada individu yang berkhidmat dalam kerja-kerja pembersihan, seperti memotong rumput dan sebagainya.

Kesimpulannya, walaupun kuliah tersebut merupakan kuliah pertama untuk kursus ini, tetapi ia cukup sarat dengan maklumat yang begitu bermanfaat kepada pelajar. Harapan saya sebagai salah seorang pelajar yang mengikuti kursus ini adalah supaya saya dapat mengaplikasikan ilmu-ilmu tersebut di alam pekerjaan suatu hari nanti.

Comments

Popular posts from this blog

Infografik Cerpen "Citra Mukhlisah" Oleh Nisah Haron

Refleksi Kuliah Minggu Ke-12

Refleksi Kuliah dan Tutorial Minggu Kelima