Refleksi Kuliah Kedua

Assalammualaikum dan selamat sejahtera. 

Dalam entri kali ini, saya akan berkongsi dengan para pembaca mengenai kuliah kedua HMT411 (Teori dan Kaedah Penyelidikan Linguistik) yang berlangsung pada hari Rabu lalu, iaitu 19 September 2018. Seperti biasa, kuliah tersebut berlangsung selama tiga jam, iaitu dari pukul 12 tengah hari hingga 3 petang. Kuliah dimulakan dengan sebuah kuiz atas talian yang disediakan oleh Dr Norsofiah dengan menggunakan aplikasi Quizlet. Soalan yang diajukan kepada saya dan rakan-rakan ialah, "Mengapa penyelidikan dijalankan?". Rata-rata pelajar menjawab bahawa penyelidikan perlu dijalankan untuk mengenalpasti masalah, mencari kebenaran, dan mencari bukti. 

Selepas kuiz tersebut, Dr Norsofiah memberikan pula kuliah tentang "Penyelidikan”". Sebagaimana yang kita tahu, penyelidikan terbahagi kepada dua jenis, iaitu penyelidikan kualitatif dan penyelidikan kuantitatif. Menurut Dr Norsofiah, kedua-dua bentuk penyelidikan tersebut saling berkait antara satu sama lain. Dalam erti kata lain, penyelidikan kuantitatif tidak dapat wujud sendiri tanpa penyelidikan kualitatif, dan begitu juga sebaliknya. Dr Norsofiah juga menjelaskan bahawa penyelidikan boleh dilakukan dengan menggunakan soalan seperti, "why?, who?, where?, what?, dan when?". Selain itu, Dr Norsofiah juga memaparkan sebuah video yang bertajuk, "Vaxxed: From Cover-Up to Catasthrophe". Video tersebut merupakan sebuah trailer filem yang mengisahkan tentang kesan vaksin kepada kanak-kanak.

Aktiviti seterusnya ialah pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Setiap kumpulan dikehendaki untuk menganalisis sebuah artikel yang bertajuk, "Lakuan Ilokusi Guru dalam Pengajaran Bahasa Melayu". Dalam hal ini, pelajar perlu mengenalpasti beberapa elemen seperti penyataan masalah, objektif kajian, kaedah kajian, rumusan sorotan kajian, dapatan kajian, dan kesimpulan. Kemudian, setiap kumpulan perlu membentangkan jawapan masing-masing di dalam kelas. Aktiviti sebegini bertujuan untuk mendedahkan pelajar kepada cara untuk menghasilkan artikel yang berkualiti.

Walaupun durasi kuliah tersebut adalah tiga jam, tetapi saya berasa waktu seakan-akan berlalu dengan cepat sekali. Saya berharap agar saya dapat menggunakan ilmu yang saya telah pelajari dalam kuliah tersebut untuk menjalankan penyelidikan saya sendiri pada masa akan datang.

Comments

Popular posts from this blog

Infografik Cerpen "Citra Mukhlisah" Oleh Nisah Haron

Refleksi Kuliah Minggu Ke-12

Refleksi Kuliah dan Tutorial Minggu Kelima