Refleksi Kuliah Minggu Ke-12

Assalammualaikum dan selamat sejahtera.

Pada hari Rabu lalu, sebuah seminar telah dijalankan di Dewan Persidangan Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia. Seminar tersebut adalah dengan tema Shahnon Ahmad dalam Kenangan.



Terdapat beberapa pembentangan yang dijalankan dalam seminar tersebut, misalnya Refleksi Agama dalam Novel Detik-detik Diri di Daerah Daif, Revolusi yang Ditangguhkan: Uzlah dalam Pemikiran Kemuhasabahan dan Kesufisme. Kedua-dua pembentangan ini mempunyai daya tarikannya yang sendiri, terutama sekali pembentangan yang kedua, iaitu Revolusi yang Ditangguhkan: Uzlah dalam Pemikiran Kemuhasabahan dan Kesufisme. Menurut pembentang, iaitu Dr. Roslan bin Chin, uzlah bermaksud mengasingkan diri. Di dalam buku Revolusi yang Ditangguhkan, karya Shahnon Ahmad tersebut, salah satu faktor yang mendorong Shahnon Ahmad untuk beruzlah ialah selepas beliau terlibat dalam bidang politik. Ini kerana apabila beliau menceburkan diri di dalam bidang politik, beliau tidak begitu disukai kerana beliau merupakan seorang yang begitu ikhlas di dalam melakukan kerjanya. Selain itu, di dalam buku tersebut juga, Shahnon Ahmad menyentuh isu alam dan keagamaan. Beliau cuba membawa pembaca untuk menyelami keindahan alam semulajadi. Kekesalan beliau terhadap kedurjanaan manusia juga ditonjolkan di dalam buku tersebut, iaitu beliau menyatakan bahawa manusia banyak melakukan kedurjanaan, iaitu pembohongan, penyelewengan, dan konspirasi. 

Berdasarkan pemerhatian saya sebagai seorang audien, saya mendapati bahawa tugas sebagai seorang penulis bukanlah tugas yang remeh. Ini kerana, untuk menjadi seorang penulis yang baik, kita perlu menghasilkan suatu penulisan yang bukan sahaja dapat menggembirakan pembaca, tetapi juga penulisan tersebut haruslah membawa manfaat dan memberi kesedaran kepada sesiapa sahaja yang membacanya. Pada pendapat saya, perkara inilah yang cuba dilakukan oleh arwah Shahnon Ahmad. Beliau bukan sahaja berupaya untuk menghasilkan karya yang dipenuhi dengan bahasa yang indah, tetapi juga beliau mempunyai misi untuk menyebarkan ilmu kepada manusia, terutamanya dari segi agama dan kerohanian. Harapan saya adalah supaya perintis-perintis dalam bidang penulisan akan mencontohi sikap Shahnon Ahmad. Ini kerana menulis bukanlah hanya satu profesion, tetapi ia juga satu tanggungjawab.

Comments

Popular posts from this blog

Infografik Cerpen "Citra Mukhlisah" Oleh Nisah Haron

Refleksi Kuliah dan Tutorial Minggu Kelima