Refleksi Kuliah dan Tutorial Minggu Keenam

Assalammualaikum dan selamat sejahtera.

Pada hari Rabu lalu, iaitu 17 Oktober 2018, kuliah HMT 411 (Teori dan Kaedah Penyelidikan Linguistik) untuk minggu keenam telah berlangsung di Makmal Bahasa, C24, Universiti Sains Malaysia. Kuliah tersebut dikendalikan oleh Dr Norsofiah. 

Aktiviti yang dijalankan semasa sesi kuliah tersebut ialah saya dan rakan-rakan dikehendaki untuk berbincang dalam kumpulan masing-masing mengenai kajian kami. Kami ditugaskan untuk menghasilkan borang latar belakang responden dan surat keizinan untuk temu bual. Setelah setiap kumpulan selesai menghasilkan borang dan surat keizinan tersebut, Dr Norsofiah mempertontonkan borang latar belakang reseponden yang dihasilkan oleh setiap kumpulan di hadapan kelas sambil memberikan ulasan tentang borang tersebut. Pada pandangan saya, ini merupakan suatu inisiatif yang begitu baik sekali kerana ia dapat memberi panduan kepada saya dan rakan-rakan dalam menyediakan borang latar belakang responden untuk kajian kami.

Selain itu, Dr Norsofiah juga menunjukkan sebuah video. Kemudian, nama pelajar dipanggil secara rawak, dan mereka dikehendaki untuk menyatakan pendapat mereka tentang video tersebut. Aktiviti ini bertujuan untuk mendedahkan pelajar tentang peranan pengkaji sebagai seorang pemerhati.

Pada hari berikutnya, iaitu hari Khamis, bersamaan 18 Oktober 2018, tutorial HMT411 pula dijalankan di Makmal Komputer, C20, Universiti Sains Malaysia. Aktiviti yang dijalankan semasa sesi tutorial pada hari tersebut merupakan sambungan aktiviti yang dijalankan pada minggu lepas. Saya dan rakan-rakan dikehendaki untuk membuka perisian SPSS di komputer masing-masing. Kemudian, Dr Norsofiah memberikan pendedahan tentang cara-cara untuk melakukan Ujian T ke atas data-data yang sudah diperoleh. Menurut Dr Norsofiah, terdapat dua syarat untuk melakukan Ujian T, iaitu:

(a) Data yang diperoleh mestilah normal
(b) Data mesti mempunyai dua kumpulan

Dr Norsofiah juga menjelaskan bahawa sekiranya nilai skewness ialah 0 hingga 1.97 atau 0 hingga -1.97, data itu ialah data normal. Namun, sekiranya nilainya melebihi 1.97, maka data tersebut tidak normal. Sekiranya data tidak normal, maka Ujian T tidak boleh dilakukan ke atas data tersebut.

Secara keseluruhannya, kuliah dan tutorial pada minggu keenam sangat sarat dengan perisian yang menarik. Saya berharap agar saya boleh mengaplikasikan ilmu yang dipelajari semasa sesi kuliah dan tutorial tersebut dalam kajian saya pada masa akan datang.

Comments

Popular posts from this blog

Infografik Cerpen "Citra Mukhlisah" Oleh Nisah Haron

Refleksi Kuliah Minggu Ke-12

Refleksi Kuliah dan Tutorial Minggu Kelima