Refleksi Kuliah dan Tutorial Minggu Keempat
Assalammualaikum dan selamat sejahtera.
Entri saya pada hari ini akan berkisarkan kuliah dan tutorial HMT411 (Teori dan Kaedah Penyelidikan Linguistik) pada minggu keempat.
Kuliah Minggu Keempat
Topik utama yang dibincangkan dalam kuliah minggu keempat ialah Statistik Deskriptif. Menurut Dr Norsofiah, statistik mempunyai dua jenis, iaitu statistik inferensi dan statistik deksriptif. Statistik deskriptif ialah statistik yang berfungsi untuk menghuraikan ciri-ciri pembolehubah. Dalam statistik deksriptif, kita hanya boleh membuat kesimpulan tentang data numerikal, dan tidak boleh membuat generalisasi. Dalam statistik deskriptif, pengkaji dikehendaki mengira mod, min, median, dan sisihan piawai untuk menghasilkan laporan. Selain itu, Dr Norsofiah juga menjelaskan tentang jenis-jenis data. Dalam hal ini, data terbahagi kepada beberapa jenis, iaitu data nominal, ordinal, skala sela, dan skala nisbah. Data nominal ialah data yang nilainya tidak mempunyai makna. Data ordinal pula ialah data yang disusun mengikut urutan tertentu, contohnya setuju, sangat setuju, tidak setuju, dan sangat tidak setuju. Skala sela pula biasanya digunakan untuk mengukur suhu. Skala nisbah digunakan untuk mengira skor.
Untuk menguji kefahaman pelajar tentang mod, min, median, dan sisihan piawai, saya dan rakan-rakan dikehendaki untuk membuat latihan di dalam kelas. Kami diberikan dua soalan untuk diselesaikan dalam tempoh tertentu. Selepas saya dan rakan-rakan selesai menjawab soalan-soalan tersebut, Dr Norsofiah membincangkan jawapan di hadapan kelas dan menunjukkan cara yang sebetulnya untuk mendapatkan nilai mod, median, min, dan sisihan piawai. Selain itu, Dr Norsofiah juga telah mengadakan kuiz dengan menggunakan Kahoot. Kuiz ini bertujuan untuk menilai sejauh manakah kefahaman pelajar mengenai topik pembelajaran pada hari itu. Pada pandangan saya, kuiz sememangnya adalah inisiatif yang sangat baik untuk menguatkan daya ingatan pelajar tentang sesuatu topik.
Tutorial Minggu Keempat
Tutorial pada minggu keempat telah dikendalikan oleh Dr Norsofiah. Seperti biasa, tutorial dimulakan dengan baca al-Fatihah. Aktiviti yang dijalankan semasa tutorial terebut ialah saya dan rakan-rakan dikehendaki untuk mendaftar masuk ke laman web Socrative dan menjawab beberapa soalan kuiz tentang Lakuan Bahasa. Untuk pengetahuan pembaca sekalian, lakuan bahasa terbahagi kepada tiga jenis, iaitu lokusi, ilokusi, dan perlokusi. Selepas saya dan rakan-rakan selesai menjawab soalan-soalan kuiz tersebut, Dr Norsofiah memanggil nama pelajar secara rawak, dan pelajar yang terpilih dikehendaki menyatakan jawapan masing-masing. Pada pendapat saya, aktiviti sebegini adalah sangat baik untuk membiasakan pelajar untuk berbicara di hadapan khalayak ramai kerana ia dapat membina keyakinan pelajar. Selain itu, aktiviti ini juga dapat mengukuhkan kefahaman pelajar tentang topik yang dipelajari pada hari tersebut.
Comments
Post a Comment